pengikut setia

Monday 27 June 2011

Senyuman Penawar Teman

“ Jangan dilupa, kita ada Tuhan yang sentiasa Mendengar.” Masih terngiang di peluput telingaku. Suara manis milik Azam beberapa hari lalu. Saat aku amat memerlukannya, dia hadir tanpa sebarang paksa. Hadir dengan raut wajah penuh nuansa. Lirikan matanya amat menggentar naluri kewanitaanku. Aku tewas setiap kali dia hadir dengan penuh prihatin. Azam! Lelaki penuh dengan karisma dan pesona.“Tidak, sekali aku tidak pernah lupa. Sentiasa dalam ingatan dan jiwaku ini.” Dia tersenyum mendengar jawapan itu. Ya. Senyuman itu yang sentiasa memberi ketenangan.
“Tidak mungkin Zam, aku tidak amalkan gaya hidup negatif. Bagaimana bisa aku peroleh virus sebegini? Mengapa aku Zam?” Semakin kuat esak tangis yang kedengaran di kamar tabib itu. Aku tidak dapat menerima. Sedikit pun tidak kupercaya. Mana mungkin aku yang menjadi mangsa. Ahh! Dunia terlalu kejam kepadaku. Mengapa Tuhan menghukum aku sebegini? Kurasa dunia kelam dan suram. Seolah ini penamat dan penghujung buatku.
“Istighfar wahai teman. Jangan cepat menghukum Tuhan atas apa yang berlaku. Mungkin ujian buat hamba sepertimu. Hamba yang terpilih.” Cukup tenang dia melafazkannya. Tiada sekelumit keluh. Senyuman tetap menghiasi bibirnya yang kemerahan itu. Kesan tiada pengambilan rokok mahupun alkohol. Matanya redup memandang aku dengan penuh keyakinan seolah dia telah temui penawar. Ternyata ia sedikit melegakan.
Aku masih merenung sampul putih yang tertera namaku. Tidak kusentuh sejak sang tabib menyerahkannya tadi. Entah mengapa hatiku berasa berat dan kelat. Aku tidak bernafsu untuk membacanya walau kutahu ia melibatkan nyawaku. Biarlah ia disitu. Sampai waktu akan kubuka bagi penentu nasib hidupku seterusnya. Kucapai segelas air langit membasahkan tekak yang kering kontang. Masih menanti kehadirannya bagi mendapat sedikit kekuatan. Kekuatan dalam menentukan apa yang terbaik yang harus aku lakukan. Dan mendung terus berarak meliputi hatiku.
“Masakan bisa aku jadi penawarmu? Sedangkan aku cuma manusia biasa yang menumpang di Bumi Tuhan untuk mencari sedikit Ihsan.” Kata-kata itu diluah padaku setelah aku menyatakan impian dan anganku.
“Ya, ingin sekali aku memilih kau sebagai penawarku. Mungkin sahaja ia bisa menyembuh segala gerah yang hinggap ditubuhku ini.” Aku masih tetap pertahan angan atau mungkin meletak sedikit ego dalam impian. Dia tersenyum lagi sambil menyuakan kupasan epal merah kepadaku. Tiba waktunya, pasti dia muncul dimuka lawang kamar itu. Tidak telat dan tidak cepat. Sedang-sedang tepat pada waktu. Betapa kasih dan cinta teman itu sedikit sebanyak memberi kesembuhan padaku. Walau pada hakikat, ia sedang bercambah mekar menjadi racun yang membinasa tubuh ini.
Batuk yang berlarutan menjadi punca dan penyebabnya. Kusangka hanya batuk biasa. Batuk yang tiada membawa bersama virus durjana. Yang berkepanjangan. Hingga suatu ketika, hadir tompokan merah pekat dari tenggorokan kecilku. Bingung. Aku menghubunginya. Segera aku dibawa ke rumah sakit Suwastha. Diberi bantuan awal dan pernafasan agar aku tidak tumbang rebah menyembah bumi. Semalaman dia menanti disisi. Tidak berganjak walau seinci. Betapa kasihnya teman yang menjadi keutamaan. Aku tidak berdaya. Namun melihat senyuman yang sentiasa berada dibibirnya aku cuba bangkit semula. Bangkit untuk kembali sembuh sedia kala.
Air putih kuteguk lagi. Terasa tenggorokanku seperti menelan jarum dan duri. Perit sekali. Mungkin ini kesan narkoba yang kuambil. Narkoba yang bisa memperlahankan keagresifan virus durjana itu. Menurut sang tabib, ia bisa membantutkan virus dari terus menjalar kebahagian lain anggota tubuhku. Dan ternyata narkoba ini memberi kesan selain itu. Membunuh yang durjana dan melemahkan yang menjadi mangsa. Sudah dikatakan ia buatan manusia mana bisa menandingi penawar semula jadi ciptaan Illahi.
Selesai menjalani diagnosa awal, didapati terdapat tumor kecil di sebelah lampung kiriku. Ia memberi sedikit bukti bahawa lampungku kini dihinggapi sesuatu. Sesuatu yang tidak bisa dibuang hanya dengan mencungkil dengan lidi. Ia perlu menjalani operasi. Aku telah dibiopsi dengan mengambil sebahagian kecil tumor pada lampungku. Sakit. Usah disoal. Amat memeritkan. Hanya kematian yang terbayang dilayar mindaku ketika itu. Hanya Tuhan yang tahu.
“Bagi memberi pemahaman lebih mengenai penyakit ini izinkan saya menerangkan serba sedikit berkaitannya.” Sang tabib membetulkan tali leher yang menjerut kemeja hijaunya. “Kanser paru-paru secara amnya dibahagikan kepada dua jenis yang utama, kanser sel kecil paru-paru (small cell lung cancer) dan kanser sel bukan-kecil paru-paru (non-small cell lung  cancer). Setiap jenis kanser ini berbeza-beza dan setiap jenis darinya juga memerlukan rawatan yang berbeza. Kanser  paru-paru sel bukan-kecil adalah yang paling biasa berlaku,  meliputi hampir 80% kanser paru-paru.”
“Terdapat 3 jenis kecil kanser paru-paru jenis ini iaitu: karsinoma sel skuamus, adenokarsinoma dan karsinoma sel besar paru-paru (large cell carcinoma). Karsinoma sel skuamus biasanya bermula di bronkus. Ia tumbuh dengan lebih lambat berbanding kanser-kanser jenis lain. Ia merupakan kanser paru-paru yang paling biasa berlaku pada kaum lelaki. Ia juga dikenali sebagai karsinoma epidermoid. Adenokarsinoma mula tumbuh berdekatan dengan bahagian luar paru-paru dan kadar pertumbuhannya adalah berbeza-beza. Kanser jenis ini adalah yang paling biasa berlaku di kalangan wanita dan mereka yang tidak pernah merokok.  Kasinoma sel besar bermula di permukaan paru-paru dan ia tumbuh dengan cepat sekali.  Karsinoma sel kecil paru-paru (small cell carcinoma) meliputi hampir 20% dari kesemua jenis  kanser paru-paru. Ia juga dikenali  sebagai kanser  sel oat kerana sel kanser kelihatan  seperti oat  bila dilihat  di bawah mikroskop.  Kedua-dua jenis kanser ini merupakan kanser paru-paru yang  biasa berlaku, meliputi lebih 90%  dari semua jenis kanser paru-paru.” Penerangan yang sangat lengkap dan panjang lebar.
Aku menarik nafas dalam dan panjang. Meregangkan sedikit ketegangan. “Makanya, saya ini berada dalam golongan mana doktor?” Aku menjeling kearahnya yang setia menemaniku. “Hmm, agak berat untuk saya katakan. Kerana ia amat jarang malah saya rasa tidak pernah berlaku.”
“Maksud doktor?” Dia mula mempersoal. Hatiku mulai kecundang. “Begini, setelah mendiagnosa tumor tersebut, saya dapati ia adalah sejenis kanser karsinoma sel skuamus. Yang mana sel tersebut bermula di bronkus dan kebiasaannya terdapat pada pesakit lelaki yang merokok. Saudari tidak merokok bukan?” Sang tabib memandangku tepat. Aku hanya menggeleng lemah. Mana bisa aku menghisap benda haram itu. Menyentuh pun terasa menjijikkan.
“Maka, apa cara yang terbaik yang bisa doktor cadangkan?” Masih lagi senyuman yang dia hadiahkan buatku. “Saya perlu uji dahulu, kanser ini pada tahap berapa. Dan saudari perlu menjalani beberapa imbasan seperti sinar-x dan CT scan dan yang terbaharu adalah Positron Emission Tomography atau (PET) Scan. Saya mencadangkan saudari untuk menjalani PET scan kerana ia lebih efisien dan memberi gambaran yang lebih jelas.” Aku menurut sahaja. Yang penting aku berusaha. Semakin kelam mendung itu berarak menutup keseluruhan hati.
Dia duduk dihadapanku sambil menyuakan kuntuman lily putih kegemaranku. Putih. lambang kesucian perasaan dan hati seseorang. Sesuci dan setulus perasaan kasihnya buatku. Dia memandang sampul putih itu seraya memandangku dengan penuh tanda tanya. Aku hanya mengangguk mengizinkan. Memang itu yang kunanti. Jawapan dari teman yang tidak jemu untuk memberi harapan. “Mengapa kau tidak tanda tangan?” Memandangku sambil melipat surat berkenaan. “Ini melibatkan nyawa kau Zal. Mujur masih diperingkat kedua. Ia masih awal untuk merebak lebih jauh dan bisa dihalang jika kau menjalani operasi.”
“Aku tidak yakin. Mungkin ada alternatif lain? Apa pendapat kau?”
Dia memandang aku dengan sedikit kecewa pada raut wajahnya. Mungkin dia mengharapkan aku untuk melakukannya. “Terpulanglah pada kau. Ini nyawa kau. Kau yang berhak. Aku hanya bisa memandu arah. Kau yang menentukan destinasi.” Terpempan aku mendengar jawapan itu. Mana mungkin ia lahir dari naluri lelaki itu. Aku seolah tidak mengenali lelaki ini. Semena-mena hujan mulai turun menitis membasahi hati yang semakin lemah ini. Lemah untuk menetapkan pendirian sendiri.
Akhirnya, dia menghampiri putus asa. Jiwanya lelah menjadi kuat dan gagah buatku. Jiwanya runtuh melihat betapa lemahnya aku. Akhirnya, insan itu menjadi yang paling lemah antara kami. Kulihat air jernih mengalir dipipi. Air mata lelaki! Paling mahal sekali. Maafkan aku teman. Aku telah melukai jiwamu yang sebenarnya. Dia berlalu tanpa sepatah kata. Berpaling tanpa secalit senyuman. Ya, tiada lagi senyuman itu buatku. Senyuman yang bisa memberi kekuatan padaku. Ampunkan aku ya Tuhan. Aku telah melukainya. Kini hujan telah mengalir melimpahi hati.

* * * * * * * * * * * * * * * *
            Saluran pernafasan menjadi terlalu sempit kurasakan. Sejak kelmarin, kesihatanku semakin membimbangkan. Tidak stabil. Kadar oksigen dalam darahku juga berkurangan. Makanya hari ini aku telah diberi bantuan pernafasan dengan memasang alat bantuan. Rimas dan tidak betah ku rasakan. Terikat tanpa rasa bebas. Sejenis narkoba yang dipanggil steroid telah dimasukkan kedalam tubuh lemahku ini. Kadar steroid tubuhku semakin tidak stabil. Dan ia agak membantu sang virus untuk terus bermaharaja lela.
Aku sendiri tidak mampu melawan. Setelah kehilangan suatu kekuatan. Ya. Kekuatan senyuman darinya. Dia menghilang tanpa berita. Aku kehilangan segala kehidupan. Hidupku suram dan semakin tenggelam. Mungkin dia telah putus asa. Saban waktu menghampiri aku demi memberi penawar yang aku harapkan. Namun aku sendiri yang enggan. Enggan memberi kesembuhan pada diri. Pada penyakit ini.
“Saudari perlu melakukan operasi dengan kadar segera. Demi memastikan ia tidak merebak terlalu jauh dari peparu saudari.” Aku masih membatu mendengar bicara sang tabib itu. Fikiranku tidak disitu. Jauh melayang hingga ke negeri seberang. “Jika tidak dioperasi segera saudari bisa peroleh komplikasi setempat dimana disebabkan oleh tumor yang menekan saluran udara ataupun kesakitan yang disebabkan oleh serangan tumor ke atas struktur setempat. Dan yang lebih membimbangkan jika saudari mendapat komplikasi metastasis iaitu perebakan sel-sel  kanser dari tempat asal tumor kebahagian-bahagian lain dalam badan melalui sistem limfa atau saluran darah. Ia kemudiannya akan menuju ke organ-organ lain di dalam badan dan membentuk
satu tapak kanser yang baru dengan menghasilkan gejala-gejala tertentu.” Sang tabib masih tidak jemu. Inginkan aku segera mendapat operasi yang sewajarnya. Agar segala virus tidak merebak lebih jauh. Namun aku masih begitu. Kaku dan membatu.
‘Tempat apakah ini? Cantik sungguh tidak terperi.” Bayu bertiup nyaman sekali. Sesekali pepohon hijau melambai-lambai disapa bayu nyaman. Sang kumbang berterbangan liar menodai segenap inci bunga kembang pagi. Indah sungguh pemandangan ini. Bagaikan berada di alam syurgawi. “Saudari siapa?” Satu suara menyapa aku dari belakang. Terasa sentuhan lembut hinggap dibahuku. Aku berpaling ingin melihat siapa empunya suara. Maha suci Tuhan. Yang menciptakan segala kejadian. Sungguh ayu paras rupanya. Bagaikan sang kirana bidadari syurga.
Lama aku merenung wajahnya. Terpegun sekali. Senyumannya indah persis senyuman insan itu. Insan yang telah lama tidak hadir dalam mimpiku. “Dimanakah saya kini? Sungguh indah tempat ini.” Aku berjalan meninggalkannya di belakang. Berjalan kesegenap ruang. Ingin menikmati setiap inci ketenangan. Menghirup kesegaran sang bayu yang tidak pernah kurasai. Merapatkan netra dengan perasaan tenang sekali. “Kau berada di sebuah tempat yang penuh nikmat. Tiada resah. Tiada gelisah. Tenang itu umpama air yang mengalir dari perbukitan menuju ke sungai. Tiada penghujung. Apa sahaja yang kau inginkan pasti mendapat perkenan.”
Lembut suaranya. Selembut sentuhan tangannya jua. Sekejap dia sudah berada disebelahku. Memandangku dengan redupan mata yang sayu. Amat menyentuh jiwa ini. “Malangnya ia bukan tempatmu wahai teman. Kau harus segera pulang. Ramai yang menanti kau di sana.” Sayu kulihat pandangannya. Sedih barangkali. Tetapi aku kurang mengerti. “Mengapa begitu? Mengapa aku tidak bisa berada di sini wahai sahabat?” Inginku mendapat kepastian. Aku ingin berada di sini selamanya. Sampai bila-bila.
“Tidak bisa. Masa kau belum tiba. Masih jauh perjalanan hidupmu. Masih banyak yang perlu kau tempuh.” Aku mengerutkan dahi. Tanda tidak puas hati. Aku ingin disini. Aku tidak mahu pergi. “Kembalilah teman. Ramai yang sudah menanti.” Sepintas, kabus tebal menyelubungi ruang udara. Sesak ruang nafas kurasakan. Mataku berpinar-pinar. Perlahan aku rebah dan tidak sedarkan diri.
“Saudara, pembedahan telah selamat dijalankan. Pasien masih berada di bawah sedar dan akan ditempatkan di unit rawatan rapi. Saudara boleh melawatnya sekali-kali. Banyakkanlah berdoa dan pohonlah dari Tuhan agar dia bisa melawan barah paru-paru itu. Kembali sihat dan ceria seperti dahulu.” Air mata Azam menitis lagi. Tidak disangka pemergiannya ke tanah suci telah mengundang nestapa di hati teman istimewanya itu. Sengaja dia merahsiakan agar bisa temannya itu membuat keputusan sendiri. Dia hanya bisa membantu dan berdoa dari kejauhan. Sesal mula menular dalam hati. Mengapa dia terlalu ego pada teman yang telah lama dikasihi.
“Ampunkan aku ya Tuhan. Aku akur dan redha atas setiap ketentuan. Semoga kau menerima dan mendengar segala doaku. Segala munajatku. Hanya untuk dirinya. Aku ingin bersamanya ya Rabb. Ingin memipin tangannya ke syurga abadi. Bersama redhaMu. Bersama rahmat dan kasihMu. Kembalikanlah dia kesisiku ya Tuhan pencipta setiap kejadian. Hanya padaMu aku pinta dan aku berserah.” Dia bersujud lagi. Lama sekali. Menghamburkan segala kesedihan yang terbuku pada Tuhan yang satu. Yang maha mendengar.
“Doktor! Pasien menunjukkan reaksi positif. Pasien mulai sedar.” Suara pertama yang aku dengar tatkala kembali ke alam nyata. Dunia realiti. Mataku terasa berat dan sukar untuk dibuka. Aku cuba sedaya upaya. Aku ingin kembali melihat dunia. Dunia yang penuh urna-urna gembira dan duka. Yang mengajar aku erti kehidupan dan kecekalan. Terasa genggaman erat dari seseorang. Terdengar suara yang sudah lama kuimpikan. Suara milik lelaki itu. lelaki yang bertakhta dihatiku.
             “Zal, aku disini Zal. Buka matamu sayang. Lihat wajahku. Lihat senyumanku yang kau puja selama ini.” Air matanya menitis lagi. Syahdu kurasakan. Aku cekalkan hati. Buka seluas mungkin kedua mataku ini. Aku ingin lihat semula senyumannya. Senyuman yang bisa menjadi penawar setiap duka. Senyuman yang sentiasa aku puja. Senyuman dari insan yang amat kucinta. Azamuddin Zia. Nama yang telah bertakhta di sanubari sejak sekian lama.


23:45 
23 Jun 2011
(21 Rejab 1432)


2 comments:

  1. best cerpen ni...insyaAllah klu ade peluang bleh menang.. :)..alahai....terasa sedih plak nk dibandingkan dengan cerpen saya...jauh bezanya.. =.='..huhuhu..anyway..good luck.. :)

    ReplyDelete
  2. hehe...alhamdulillah..
    ada gak yg sudi baca..
    terima kasih ye hans..
    saya pun baru nak cuba-cuba menulis..
    hans pun okay apa..
    kita semua kan masih belajar lagi..
    jgn putus asa okay??
    kita sama2 cuba memeriahkan industri penulisan ni...mesti bangga dr. Mawar dan dr. Misran nanti...
    anyway..terima kasih sekali lagi...=)

    ReplyDelete

Link

TERIMA KASIH DAUN KELADI, ADA MASA JEMPUT DATANG LAGI...=)