pertama sekali inginku memohon maaf kepada Dr. Mawar kerana agak terlewat untuk menulis di blog ini. banyak kekangan yang aku hadapi dalam masa 2 minggu kebelakangan ini. lagi pula perkhidmatan jalur lebar yang selalu ku gunakan belum lagi aku jelaskan bilnya. maklumlah wang saku amat terhad pada waktu ini. tiada duit pinjaman pendidikan yang aku peroleh untuk tempoh 2 bulan ini. maka segalanya aku bergantung pada ibuku yang sangat aku sayangi. hasil dari kesudiannya mencurah ilmu kepada warga kampung yang ingin mengaji dengannya. Alhamdulillah walaupun mak tidak lagi bisa berjalan seperti orang lain tetapi khidmat baktinya masih lagi ditagih oleh mereka yang dahagakan ilmu Allah.
subjek ini aku ambil sebagai elektif dengan taraf kursus pilihan bebas. jika diikutkan aku bukanlah berlatarkan sastera atau bahasa, namun entah mengapa aku memilih ia sebagai pelengkap dan subjek terakhirku sebelum menamatkan pengajian di bumi ukm ini. aku bersyukur pada Allah kerana telah dilorongkan untuk memilih subjek ini dan sedikit sebanyak telah membangkitkan nafsu penulisanku yang telah tidur sejak sekian lama. pada awalnya aku rasakan agak sedikit malu dan kerdil bila berada di dalam kelas. dari fakulti dan jurusan yang berlainan dengan mereka semua. terasa seperti makhluk aisng dari planet yuka'a. namun semangat dan azam semakin bertambah dan tidak pernah luntur untuk berkarya dan mudah-mudahan impian kami semua bisa jadi kenyataan. dan satu perkara lagi yang paling aku sukai apabila Dr. Mawar memanggilku dengan panggilan khodijah yang mana hanya 2,3 orang yang kukenali sahaja yang memanggilku dengan nama awalku itu. harapanku juga mudah-mudahan aku bisa menjadi sehebat khadijah khuwailid, ummul mukminin dan wanita teragung dalam dunia islam.
sekian, tinta berhenti dahulu.
wasalam
No comments:
Post a Comment