pengikut setia

Tuesday 19 July 2011

Monday 18 July 2011

Saturday 16 July 2011

Nisfu Sya'ban

Ya Allah...
 Panjangkanlah umur kami dan penuhilah dengan kebajikan dan kebaikan padaMu dan pada seluruh alam..
 Murahkanlah rezeki kami ya Allah dengan penuh berkah dan rahmah..
 Matikanlah kami dalam iman yang menghiasi dada kami dan memenuhi hati kami..





Friday 15 July 2011

Rezeki Malam Jumaat.

Ya Allah...banyaknya makanan..
Bagaimana hendak kami habiskan?
Semuanya ambeng..semuanya enak..
Memang dibulan Sya'ban yang Mulia ini rezeki melimpah-ruah.
Hampir setiap malam pasti ada yang berkenduri.
Pada malam jumaat apatah lagi.
Pasti ramai yang berhajat membawa makanan ke surau berdekatan.
Mengirim tahlil arwah dan mencari keberkahan dalam menyambut Ramadhan.
Hmm..ini bukanlah sunnah. Tiada.
Tetapi ia adalah 'uruf..atau adat yang tidak bertentangan dalam Islam.
Niat yang pasti hanyalah ingin bersedekah.
Di kalangan masyarakat kampungku ia digelar "unggah-unggahan".
Aku kurang pasti apa maksud sebenar.
Yang aku fahami, ia adalah kenduri bagi menyambut Ramadhan dan pada bulan inilah mereka membuat tahlil buat arwah keluarga yang telah meninggal dunia.
Ia tidaklah menyalahi disisi syarak
Namun aku ingin juga mengingatkan sebagaimana ibu dan para ilmuwan mengikatkanku.
Yang pasti, bukanlah hanya pada Sya'ban sahaja kita perlu bersedekah dan mengirim arwah.
Seharusnya ia dilakukan pada setiap hari, setiap waktu, malah setiap saat.
Tidak perlu menunggu dan menanti tibanya Rejab, Sya'ban malahan Ramadhan untuk mengirim doa pada arwah.
Seharusnya setiap waktu selepas solat wajib yang lima kita lakukannya.
Ia adalah lebih afdhal dan lebih bermakna karena "terputus segala amalan dan hubungan anak adam yang telah meninggalkan dunia kecuali 3 perkara Doa anak yang soleh, sedekah jariah dan ilmu yang bermanfaat." Hadis Riwayat Muslim.



Insan Terpilih.

Sepi tidak beerti hilang.
Hilang bukan bermakna rajuk.
Kerana kesibukan yang melanda membataskan waktu.
Maklumlah suri rumah tangga bertauliah.
Harus mengejar masa dan sentiasa diburu kesibukan.
Sementelah ibu harus ke hospital menemui doktor untuk temu janjinya.
Menanti di hospital bukanlah kegemaran..
Mujur sahaja Pendingin Hawa memberi sedikit kesenangan.
Kadangkala terasa diri ini bertuah kerana terpilih unutk menjaga ibu tua yang amat dicinta.
Namun kadang terdetik juga. Cemburu terbit tatkala melihat teman-teman lain bisa berlibur dan mengembara.
Tanpa ada sebarang tanggungjawab yang perlu dipikul.
Sedang aku hanya terperap dirumah dan tersandar tanggungjawab yang berat dibahu.
[ASTAGHFIRULLAH!
Mengapa kau berfikiran begitu?
Dia kan ibumu.
Yang telah mendidik dan mengasuhmu sejak kecil. Seharusnya kau bersyukur diberi peluang oleh Tuhan untuk merawat ibumu tanpa sebarang kekangan baik dari segi tugasan mahupun insan lain yang bergelar suami.
Kau seharusnya merebut peluang ini. Merawat Ibu tuamu. Yang mana teman-temanmu tidak merasa. Dan mungkin juga mereka tidak dapat merasa seperti apa yang kau rasa! 
Segera beristighfar teman!! JANGAN biarkan syaitan merasuki hatimu! Bersihkan hatimu segera!]
Ya Allah. Apa yang aku fikirkan ini. Mengapa aku rasa begini?



Aku berlindung padaMu ya Allah. Dari Syaitan yang direjam!
Ya Allah, ampunkan aku. Berikanlah hidayah padaku. Kesabaran yang tinggi dan Keikhlasan yang tidak terperi dalam merawat dan menjaga ibu tuaku ya Allah. Semoga ia dapat menghapus segala dosa-dosaku dengan kebajikan yang kuberi padanya. Dan aku memohon ambillah nyawanya dalam keadaan aku redha dan bersedia serta berada dalam pelukan kasih sayangku! Amin!

Aku ingin terus berbakti padanya.
Terus membelai tubuh tuanya.
Ingin terus memeluk tubuh hangatnya dan mencium dahinya seusai solat berjemaah.
Bertalaqi kalimah Tuhan pada setiap malam.
Menyediakan makan dan minumnya agar bisa menambah kekuatan.
Menceriakan hati gundahnya dengan tawa riang keanak-anakan.
Ya Allah..tunaikan hasratku. Impianku.
Biarlah aku tidak semewah mana.
Asal aku bisa menjadi permata hati BONDA!

Sunday 10 July 2011

Hidangan 1 MALAYSIA


Alhamdulillah...
Itu yang mampu aku ucapkan untuk hari yang cukup aman hari ini
Aku bersyukur kerana Allah masih memberi nikmat keamanan kepada negaraku tercinta Malaysia
Setelah berlaku sedikit kekecohan semalam
Aku juga terfikir, jika sesuatu yang dahsyat berlaku apa akan terjadi pada Tanah Melayu ini?
Ya Allah..semoga dijauhkan dari segala perkara yang memudaratkan [amin]
Hari ini memang agak kelam dan suram
Mendung melewati sepanjang hari 
Membuatkan otakku sedikit kelam dan suram [huhu]
Apa yang kau gelakkan?
Cuaca juga mempengaruhi emosi seseorang, teman!
Dan satu perkara yang membuntukan adalah apabila waktu kedapur
Tiada idea mahupun ilham yang datang untuk menyediakan menu makan siang
Ahh! Tension!
Dan akhirnya, Hape kucapai
Ku dail nombor sepupu yang menjual ikan dan meminta ikan semilang sebanyak 1kg sahaja
Aku bongkar, geledah segenap inci lemari es 2 pintu itu
Ha...dan ketemu sama sang sawi, kobis dan karot serta udang 
Siaplah kalian, akan kukorban menjadi santapan maharani!! [heheh]
Setelah kuperoleh semua bahan kumulai dengan Isti'azah, Basmalah, Selawat Syifa' dan beberapa potong doa dan aku mulai menumis dan menanak semuanya di atas api
Akhirnya, setelah hampir sejam lebih didapur tua
Siap hidangan makan siang yang aku buntu pada awalnya
Ikan Semilang sambal dan sayur campur Chinese style
Bersama nasi sihat dari India ~ tiada kanji dan penuh khasiat [kerana ibu hidapi diabetes]
Ibu mulai dengan Doa makan dan selawat syifa'
Kami berdua makan dengan penuh nikmat dan bahagia
Diselang seli dengan gurau senda dan ceritera
Ahh! Ahad yang suram tadi bertukar ceria
Hanya dengan sepinggan nasi putih India dan ikan semilang sambal serta sayur Cina
Dan baru kusedari....hidanganku...
1 MALAYSIA!!

Saturday 9 July 2011

FOLLOWER

Sebenarnya agak pelik kurasakan kerana aku tidak bisa melihat "followers" dan beberapa element page di Home Page blog ini. Hmm..kurang pasti mengapa ia terjadi. Mungkinkah ia diselenggara oleh pengelola atau ia tidak dapat diperlihatkan buat masa ini? Beberapa teman blog juga mengalami perkara yang sama. Namun aku juga hairan bagaimana seorang teman blog bisa menjadi follower di blogku ini. Aku mengandaikan mungkin ia dibawah selenggaraan. Ada masa bisa dilihat. Ada masa ia hilang. Terima kasih kepada rakan baruku! Semoga bayak perkongsian yang kita peroleh selepas ini. Dan terima kasih kepada para pelawat yang sudi singgah membaca "entry" yang kusampaikan. Semoga bisa membawa manfaat buat semua. Jangan segan meninggalkan jejak atau memberi komentar yang membina. Agar bisa kuperbaiki dan kemaskini entry yang kusiarkan. Semoga kita bisa menyampaikan walau ia suatu kepahitan!
gambar sekadar hiasan

Thursday 7 July 2011

ILMU dan KEMISKINAN

Terusik jiwaku tatkala aku menonton sebuah drama melayu yang mana kemiskinan dan kesusahan telah mengakibatkan sang anak menjadi mangsa. Terpaksa berhenti sekolah dan mengikut ayah ke segara. Mencari sedikit rezeki buat mereka sekeluarga. Sang anak terpaksa menahan perit akibat kesan mabuk laut yang dialami. Sang ayah hanya tersenyum melihat sang anak lemah longlai menahan terik panas yang membahang. Kesempitan dan kesusahan dijadikan alasan. Sang anak tidak perlu meneruskan pembelajaran. Cukuplah ala kadar. Sekolah pun hanya menyusahkan. Perlu banyak wang dan belanja. Sedang sang ayah hanya punya sekadarnya sahaja. Cukup buat belanja dapur dan harian. Betapa kesempitan itu cukup menekan. Pelajaran dianggap menyusahkan. Walhal ia adalah penyuluh kehidupan. Tanpa ilmu hidup kelam. Tanpa ilmu pendirian tumbang. Dan tanpa ilmu, kehidupan mereka tidak akan melepasi garis kemiskinan!

Sunday 3 July 2011

Pesona yang Mencengkam Jiwa

Fitrah manusia. Ingin mengasihi dan dikasihi. Itu lumrah dan anugerah semulajadi Illahi buat umat manusia. Aku tidak terkecuali. Pernah merasai dikasihi dan mengasihi. Namun, takdir  telah tertulis. Dia hanya hadir seketika dalam hidupku. Aku redha. Kerana ini yang kupinta. Meminta kepastian dari Yang Esa. Dan aku ketemu jawapannya. Memang kami tak ditakdirkan bersama. Entah mengapa bukan kecewa yang bertandang. Bukan kesedihan yang meradang. Tetapi kelegaan. Seolah aku terlepas dari beban yang maha hebat. Ya. Pelik  tapi benar. Mungkin itu satu petanda bahawa keputusanku adalah benar. Syukur. Aku menyepi dari cinta. Entahlah. Mungkin agak sukar untuk percaya pada kaum Adam selepas apa yan aku lalui. Namun aku tidak pernah membenci. Sekadar hati sukar untuk memahami. Sehinggalah pintu hatiku diketuk lagi. Oleh seseorang yang tidak kukenali. Di alam maya kami bertemu. Berbual dan bermesra. Aku senang dengan kehadirannya. Semakin hari rindu bertandang mendiami nurani. Indah. Lama aku tidak begini. Bayangnya sentiasa mendiami fikiranku. Kemana sahaja pasti dia yang kutemu. Oh! Aku jatuh cinta lagi. Kusangka dialah orangnya. Namun Allah menguji lagi. Yang pasti, bukan aku seorang yg cuba memiliki cinta dan hatinya. Dan aku jua tidak mengerti niat hatinya disebalik semua ini. Aku rasa kebodohan yang amat kerana mudah mempercayainya. Aku juga tidak mengerti hatiku sendiri. Tidak bisa membuang diri dan nuansanya. Ahh! Dia telah menanam pesona dihatiku. Dibaja dengan kata indah dan disiram dengan karisma. Aku sukar melupakan. Penatku cuba untuk mengusir bayangnya. Namun akhirnya aku tewas lagi. Kini aku hanya berserah. Seandai dia memang yang diciptakan oleh Allah buatku. Aku redha. Jika tidak, Aku hanya pinta pada Tuhan yang Maha Mengetahui. Jauhkan diri dan segala pesona nuansa dirinya dari tubuh dan hati ini. Kerana aku terlalu lemah untuk mempertahankan diri. Aku lelah untuk merinduinya sedang aku tidak pasti siapa dihatinya. Semoga ku peroleh jawapan dan kekuatan dari Maha Esa.


AIMAN~ PERGI SAAT INDAH

Wednesday 29 June 2011

Ku mulai perjalanan rohani dan spiritualku dengan berpuasa pada 27 Rejab ini. Setelah lama ku bertangguh, akhirnya tertunai jua hajat kecilku. Rasa terbeban membelenggu diri tatkala memikirkan masih terdapat hutang yang belum dijelaskan. . Subuh hening ku alunkan Al-Waqiah kegemaran ibu. Setelah sekian lama kutinggalkan kebiasaan itu. Atas kebertanggungan pada tugas dan amanah dalam pelajaran. Damai dan mententeramkan. Pagi ini telah kurasakan sedikit bayu Ramadhan menyapa tubuh dikeheningan waktu. Disampaikan pada Rejab yang dipenghujung dan Sya'ban yang akan muncul. Hati meronta tidak sabar menanti bulan mulia lagi barakah. Doa kupohon agar bisa aku menemuinya dengan penuh keimanan. Agar bisa kukutip segala maghfirah, kukumpul segala rahmah. Semoga dapat kutebus dengan tiket syurga kelak. Kupohon jua, agar ibu kembali sembuh sedia kala. Meniti hari tuanya dengan penuh ceria. Menyambut Ramadhan dengan penuh gembira. Aku jua memohon, agar dikembalikan pada kami permata yang telah lama hilang menyepi. Aku berharap agar Syawal tahun ini, Dia pulang kepangkuan kami. Kembali kedakapan ibu. Itu impianku ya Rahman!Makbulkanlah ya RABB!!Semoga ia menjadi titik tolak dan permulaan akan kembara ku di bulan-bulan Haram ini.

TOMBO ATI-OPICK

Monday 27 June 2011

Senyuman Penawar Teman

“ Jangan dilupa, kita ada Tuhan yang sentiasa Mendengar.” Masih terngiang di peluput telingaku. Suara manis milik Azam beberapa hari lalu. Saat aku amat memerlukannya, dia hadir tanpa sebarang paksa. Hadir dengan raut wajah penuh nuansa. Lirikan matanya amat menggentar naluri kewanitaanku. Aku tewas setiap kali dia hadir dengan penuh prihatin. Azam! Lelaki penuh dengan karisma dan pesona.“Tidak, sekali aku tidak pernah lupa. Sentiasa dalam ingatan dan jiwaku ini.” Dia tersenyum mendengar jawapan itu. Ya. Senyuman itu yang sentiasa memberi ketenangan.
“Tidak mungkin Zam, aku tidak amalkan gaya hidup negatif. Bagaimana bisa aku peroleh virus sebegini? Mengapa aku Zam?” Semakin kuat esak tangis yang kedengaran di kamar tabib itu. Aku tidak dapat menerima. Sedikit pun tidak kupercaya. Mana mungkin aku yang menjadi mangsa. Ahh! Dunia terlalu kejam kepadaku. Mengapa Tuhan menghukum aku sebegini? Kurasa dunia kelam dan suram. Seolah ini penamat dan penghujung buatku.
“Istighfar wahai teman. Jangan cepat menghukum Tuhan atas apa yang berlaku. Mungkin ujian buat hamba sepertimu. Hamba yang terpilih.” Cukup tenang dia melafazkannya. Tiada sekelumit keluh. Senyuman tetap menghiasi bibirnya yang kemerahan itu. Kesan tiada pengambilan rokok mahupun alkohol. Matanya redup memandang aku dengan penuh keyakinan seolah dia telah temui penawar. Ternyata ia sedikit melegakan.
Aku masih merenung sampul putih yang tertera namaku. Tidak kusentuh sejak sang tabib menyerahkannya tadi. Entah mengapa hatiku berasa berat dan kelat. Aku tidak bernafsu untuk membacanya walau kutahu ia melibatkan nyawaku. Biarlah ia disitu. Sampai waktu akan kubuka bagi penentu nasib hidupku seterusnya. Kucapai segelas air langit membasahkan tekak yang kering kontang. Masih menanti kehadirannya bagi mendapat sedikit kekuatan. Kekuatan dalam menentukan apa yang terbaik yang harus aku lakukan. Dan mendung terus berarak meliputi hatiku.
“Masakan bisa aku jadi penawarmu? Sedangkan aku cuma manusia biasa yang menumpang di Bumi Tuhan untuk mencari sedikit Ihsan.” Kata-kata itu diluah padaku setelah aku menyatakan impian dan anganku.
“Ya, ingin sekali aku memilih kau sebagai penawarku. Mungkin sahaja ia bisa menyembuh segala gerah yang hinggap ditubuhku ini.” Aku masih tetap pertahan angan atau mungkin meletak sedikit ego dalam impian. Dia tersenyum lagi sambil menyuakan kupasan epal merah kepadaku. Tiba waktunya, pasti dia muncul dimuka lawang kamar itu. Tidak telat dan tidak cepat. Sedang-sedang tepat pada waktu. Betapa kasih dan cinta teman itu sedikit sebanyak memberi kesembuhan padaku. Walau pada hakikat, ia sedang bercambah mekar menjadi racun yang membinasa tubuh ini.
Batuk yang berlarutan menjadi punca dan penyebabnya. Kusangka hanya batuk biasa. Batuk yang tiada membawa bersama virus durjana. Yang berkepanjangan. Hingga suatu ketika, hadir tompokan merah pekat dari tenggorokan kecilku. Bingung. Aku menghubunginya. Segera aku dibawa ke rumah sakit Suwastha. Diberi bantuan awal dan pernafasan agar aku tidak tumbang rebah menyembah bumi. Semalaman dia menanti disisi. Tidak berganjak walau seinci. Betapa kasihnya teman yang menjadi keutamaan. Aku tidak berdaya. Namun melihat senyuman yang sentiasa berada dibibirnya aku cuba bangkit semula. Bangkit untuk kembali sembuh sedia kala.
Air putih kuteguk lagi. Terasa tenggorokanku seperti menelan jarum dan duri. Perit sekali. Mungkin ini kesan narkoba yang kuambil. Narkoba yang bisa memperlahankan keagresifan virus durjana itu. Menurut sang tabib, ia bisa membantutkan virus dari terus menjalar kebahagian lain anggota tubuhku. Dan ternyata narkoba ini memberi kesan selain itu. Membunuh yang durjana dan melemahkan yang menjadi mangsa. Sudah dikatakan ia buatan manusia mana bisa menandingi penawar semula jadi ciptaan Illahi.
Selesai menjalani diagnosa awal, didapati terdapat tumor kecil di sebelah lampung kiriku. Ia memberi sedikit bukti bahawa lampungku kini dihinggapi sesuatu. Sesuatu yang tidak bisa dibuang hanya dengan mencungkil dengan lidi. Ia perlu menjalani operasi. Aku telah dibiopsi dengan mengambil sebahagian kecil tumor pada lampungku. Sakit. Usah disoal. Amat memeritkan. Hanya kematian yang terbayang dilayar mindaku ketika itu. Hanya Tuhan yang tahu.
“Bagi memberi pemahaman lebih mengenai penyakit ini izinkan saya menerangkan serba sedikit berkaitannya.” Sang tabib membetulkan tali leher yang menjerut kemeja hijaunya. “Kanser paru-paru secara amnya dibahagikan kepada dua jenis yang utama, kanser sel kecil paru-paru (small cell lung cancer) dan kanser sel bukan-kecil paru-paru (non-small cell lung  cancer). Setiap jenis kanser ini berbeza-beza dan setiap jenis darinya juga memerlukan rawatan yang berbeza. Kanser  paru-paru sel bukan-kecil adalah yang paling biasa berlaku,  meliputi hampir 80% kanser paru-paru.”
“Terdapat 3 jenis kecil kanser paru-paru jenis ini iaitu: karsinoma sel skuamus, adenokarsinoma dan karsinoma sel besar paru-paru (large cell carcinoma). Karsinoma sel skuamus biasanya bermula di bronkus. Ia tumbuh dengan lebih lambat berbanding kanser-kanser jenis lain. Ia merupakan kanser paru-paru yang paling biasa berlaku pada kaum lelaki. Ia juga dikenali sebagai karsinoma epidermoid. Adenokarsinoma mula tumbuh berdekatan dengan bahagian luar paru-paru dan kadar pertumbuhannya adalah berbeza-beza. Kanser jenis ini adalah yang paling biasa berlaku di kalangan wanita dan mereka yang tidak pernah merokok.  Kasinoma sel besar bermula di permukaan paru-paru dan ia tumbuh dengan cepat sekali.  Karsinoma sel kecil paru-paru (small cell carcinoma) meliputi hampir 20% dari kesemua jenis  kanser paru-paru. Ia juga dikenali  sebagai kanser  sel oat kerana sel kanser kelihatan  seperti oat  bila dilihat  di bawah mikroskop.  Kedua-dua jenis kanser ini merupakan kanser paru-paru yang  biasa berlaku, meliputi lebih 90%  dari semua jenis kanser paru-paru.” Penerangan yang sangat lengkap dan panjang lebar.
Aku menarik nafas dalam dan panjang. Meregangkan sedikit ketegangan. “Makanya, saya ini berada dalam golongan mana doktor?” Aku menjeling kearahnya yang setia menemaniku. “Hmm, agak berat untuk saya katakan. Kerana ia amat jarang malah saya rasa tidak pernah berlaku.”
“Maksud doktor?” Dia mula mempersoal. Hatiku mulai kecundang. “Begini, setelah mendiagnosa tumor tersebut, saya dapati ia adalah sejenis kanser karsinoma sel skuamus. Yang mana sel tersebut bermula di bronkus dan kebiasaannya terdapat pada pesakit lelaki yang merokok. Saudari tidak merokok bukan?” Sang tabib memandangku tepat. Aku hanya menggeleng lemah. Mana bisa aku menghisap benda haram itu. Menyentuh pun terasa menjijikkan.
“Maka, apa cara yang terbaik yang bisa doktor cadangkan?” Masih lagi senyuman yang dia hadiahkan buatku. “Saya perlu uji dahulu, kanser ini pada tahap berapa. Dan saudari perlu menjalani beberapa imbasan seperti sinar-x dan CT scan dan yang terbaharu adalah Positron Emission Tomography atau (PET) Scan. Saya mencadangkan saudari untuk menjalani PET scan kerana ia lebih efisien dan memberi gambaran yang lebih jelas.” Aku menurut sahaja. Yang penting aku berusaha. Semakin kelam mendung itu berarak menutup keseluruhan hati.
Dia duduk dihadapanku sambil menyuakan kuntuman lily putih kegemaranku. Putih. lambang kesucian perasaan dan hati seseorang. Sesuci dan setulus perasaan kasihnya buatku. Dia memandang sampul putih itu seraya memandangku dengan penuh tanda tanya. Aku hanya mengangguk mengizinkan. Memang itu yang kunanti. Jawapan dari teman yang tidak jemu untuk memberi harapan. “Mengapa kau tidak tanda tangan?” Memandangku sambil melipat surat berkenaan. “Ini melibatkan nyawa kau Zal. Mujur masih diperingkat kedua. Ia masih awal untuk merebak lebih jauh dan bisa dihalang jika kau menjalani operasi.”
“Aku tidak yakin. Mungkin ada alternatif lain? Apa pendapat kau?”
Dia memandang aku dengan sedikit kecewa pada raut wajahnya. Mungkin dia mengharapkan aku untuk melakukannya. “Terpulanglah pada kau. Ini nyawa kau. Kau yang berhak. Aku hanya bisa memandu arah. Kau yang menentukan destinasi.” Terpempan aku mendengar jawapan itu. Mana mungkin ia lahir dari naluri lelaki itu. Aku seolah tidak mengenali lelaki ini. Semena-mena hujan mulai turun menitis membasahi hati yang semakin lemah ini. Lemah untuk menetapkan pendirian sendiri.
Akhirnya, dia menghampiri putus asa. Jiwanya lelah menjadi kuat dan gagah buatku. Jiwanya runtuh melihat betapa lemahnya aku. Akhirnya, insan itu menjadi yang paling lemah antara kami. Kulihat air jernih mengalir dipipi. Air mata lelaki! Paling mahal sekali. Maafkan aku teman. Aku telah melukai jiwamu yang sebenarnya. Dia berlalu tanpa sepatah kata. Berpaling tanpa secalit senyuman. Ya, tiada lagi senyuman itu buatku. Senyuman yang bisa memberi kekuatan padaku. Ampunkan aku ya Tuhan. Aku telah melukainya. Kini hujan telah mengalir melimpahi hati.

* * * * * * * * * * * * * * * *
            Saluran pernafasan menjadi terlalu sempit kurasakan. Sejak kelmarin, kesihatanku semakin membimbangkan. Tidak stabil. Kadar oksigen dalam darahku juga berkurangan. Makanya hari ini aku telah diberi bantuan pernafasan dengan memasang alat bantuan. Rimas dan tidak betah ku rasakan. Terikat tanpa rasa bebas. Sejenis narkoba yang dipanggil steroid telah dimasukkan kedalam tubuh lemahku ini. Kadar steroid tubuhku semakin tidak stabil. Dan ia agak membantu sang virus untuk terus bermaharaja lela.
Aku sendiri tidak mampu melawan. Setelah kehilangan suatu kekuatan. Ya. Kekuatan senyuman darinya. Dia menghilang tanpa berita. Aku kehilangan segala kehidupan. Hidupku suram dan semakin tenggelam. Mungkin dia telah putus asa. Saban waktu menghampiri aku demi memberi penawar yang aku harapkan. Namun aku sendiri yang enggan. Enggan memberi kesembuhan pada diri. Pada penyakit ini.
“Saudari perlu melakukan operasi dengan kadar segera. Demi memastikan ia tidak merebak terlalu jauh dari peparu saudari.” Aku masih membatu mendengar bicara sang tabib itu. Fikiranku tidak disitu. Jauh melayang hingga ke negeri seberang. “Jika tidak dioperasi segera saudari bisa peroleh komplikasi setempat dimana disebabkan oleh tumor yang menekan saluran udara ataupun kesakitan yang disebabkan oleh serangan tumor ke atas struktur setempat. Dan yang lebih membimbangkan jika saudari mendapat komplikasi metastasis iaitu perebakan sel-sel  kanser dari tempat asal tumor kebahagian-bahagian lain dalam badan melalui sistem limfa atau saluran darah. Ia kemudiannya akan menuju ke organ-organ lain di dalam badan dan membentuk
satu tapak kanser yang baru dengan menghasilkan gejala-gejala tertentu.” Sang tabib masih tidak jemu. Inginkan aku segera mendapat operasi yang sewajarnya. Agar segala virus tidak merebak lebih jauh. Namun aku masih begitu. Kaku dan membatu.
‘Tempat apakah ini? Cantik sungguh tidak terperi.” Bayu bertiup nyaman sekali. Sesekali pepohon hijau melambai-lambai disapa bayu nyaman. Sang kumbang berterbangan liar menodai segenap inci bunga kembang pagi. Indah sungguh pemandangan ini. Bagaikan berada di alam syurgawi. “Saudari siapa?” Satu suara menyapa aku dari belakang. Terasa sentuhan lembut hinggap dibahuku. Aku berpaling ingin melihat siapa empunya suara. Maha suci Tuhan. Yang menciptakan segala kejadian. Sungguh ayu paras rupanya. Bagaikan sang kirana bidadari syurga.
Lama aku merenung wajahnya. Terpegun sekali. Senyumannya indah persis senyuman insan itu. Insan yang telah lama tidak hadir dalam mimpiku. “Dimanakah saya kini? Sungguh indah tempat ini.” Aku berjalan meninggalkannya di belakang. Berjalan kesegenap ruang. Ingin menikmati setiap inci ketenangan. Menghirup kesegaran sang bayu yang tidak pernah kurasai. Merapatkan netra dengan perasaan tenang sekali. “Kau berada di sebuah tempat yang penuh nikmat. Tiada resah. Tiada gelisah. Tenang itu umpama air yang mengalir dari perbukitan menuju ke sungai. Tiada penghujung. Apa sahaja yang kau inginkan pasti mendapat perkenan.”
Lembut suaranya. Selembut sentuhan tangannya jua. Sekejap dia sudah berada disebelahku. Memandangku dengan redupan mata yang sayu. Amat menyentuh jiwa ini. “Malangnya ia bukan tempatmu wahai teman. Kau harus segera pulang. Ramai yang menanti kau di sana.” Sayu kulihat pandangannya. Sedih barangkali. Tetapi aku kurang mengerti. “Mengapa begitu? Mengapa aku tidak bisa berada di sini wahai sahabat?” Inginku mendapat kepastian. Aku ingin berada di sini selamanya. Sampai bila-bila.
“Tidak bisa. Masa kau belum tiba. Masih jauh perjalanan hidupmu. Masih banyak yang perlu kau tempuh.” Aku mengerutkan dahi. Tanda tidak puas hati. Aku ingin disini. Aku tidak mahu pergi. “Kembalilah teman. Ramai yang sudah menanti.” Sepintas, kabus tebal menyelubungi ruang udara. Sesak ruang nafas kurasakan. Mataku berpinar-pinar. Perlahan aku rebah dan tidak sedarkan diri.
“Saudara, pembedahan telah selamat dijalankan. Pasien masih berada di bawah sedar dan akan ditempatkan di unit rawatan rapi. Saudara boleh melawatnya sekali-kali. Banyakkanlah berdoa dan pohonlah dari Tuhan agar dia bisa melawan barah paru-paru itu. Kembali sihat dan ceria seperti dahulu.” Air mata Azam menitis lagi. Tidak disangka pemergiannya ke tanah suci telah mengundang nestapa di hati teman istimewanya itu. Sengaja dia merahsiakan agar bisa temannya itu membuat keputusan sendiri. Dia hanya bisa membantu dan berdoa dari kejauhan. Sesal mula menular dalam hati. Mengapa dia terlalu ego pada teman yang telah lama dikasihi.
“Ampunkan aku ya Tuhan. Aku akur dan redha atas setiap ketentuan. Semoga kau menerima dan mendengar segala doaku. Segala munajatku. Hanya untuk dirinya. Aku ingin bersamanya ya Rabb. Ingin memipin tangannya ke syurga abadi. Bersama redhaMu. Bersama rahmat dan kasihMu. Kembalikanlah dia kesisiku ya Tuhan pencipta setiap kejadian. Hanya padaMu aku pinta dan aku berserah.” Dia bersujud lagi. Lama sekali. Menghamburkan segala kesedihan yang terbuku pada Tuhan yang satu. Yang maha mendengar.
“Doktor! Pasien menunjukkan reaksi positif. Pasien mulai sedar.” Suara pertama yang aku dengar tatkala kembali ke alam nyata. Dunia realiti. Mataku terasa berat dan sukar untuk dibuka. Aku cuba sedaya upaya. Aku ingin kembali melihat dunia. Dunia yang penuh urna-urna gembira dan duka. Yang mengajar aku erti kehidupan dan kecekalan. Terasa genggaman erat dari seseorang. Terdengar suara yang sudah lama kuimpikan. Suara milik lelaki itu. lelaki yang bertakhta dihatiku.
             “Zal, aku disini Zal. Buka matamu sayang. Lihat wajahku. Lihat senyumanku yang kau puja selama ini.” Air matanya menitis lagi. Syahdu kurasakan. Aku cekalkan hati. Buka seluas mungkin kedua mataku ini. Aku ingin lihat semula senyumannya. Senyuman yang bisa menjadi penawar setiap duka. Senyuman yang sentiasa aku puja. Senyuman dari insan yang amat kucinta. Azamuddin Zia. Nama yang telah bertakhta di sanubari sejak sekian lama.


23:45 
23 Jun 2011
(21 Rejab 1432)


Sunday 26 June 2011

Warkah buatmu, Bakal Suamiku.

Assalamualaikum.

Khas untuk dirimu yang bakal takluki hatiku. Izinkan aku berbicara sekadarnya. Memberi gambaran tentang diriku sebenarnya. Seadanya. Aku seorang yatim yang kehilangan bapa. Hampir sepuluh tahun ku memegang gelaran itu. Ya. Aku membesar tanpa ayah disisi. Berdikari sejak mula mengenal erti dunia. Aku redha. Itu sudah ketetapan yang Esa. Walau begitu, diriku penuh dengan ajaran agama. Juga adab sopan wanita nusantara. Usah kau bimbang. Aku telah diasuh secukupnya. Agama dan juga dunia. Aku hidup tidak semewah mana. Sekadar cukup mengisi perut yang kelaparan. Tidak terlalu lapar atau kekenyangan. Aku punyai seorang ibu tua yang cukup aku sayang. Dirinya mulai melalui zaman kemerosotan. Kesihatannya selalu sahaja membimbangkan. Aku ingin sentiasa berada disisinya. Menemani dihari tuanya. Aku tidak mahu berjauhan. Aku takut akan kehilangan. Namun fitrahku memerlukan dirimu. Sebagai imam dan penghulu. Sebagai bapa pada zuriatku. Sekiranya kita disatukan atas ikatan pernikahan. Izinkan aku menjadi isteri yang kau perkenan. Lenturlah aku menjadi isteri idaman. Ibu yang penyayang. Wanita solehah buruan syurga. Namun ingin kupinta keizinan. Merawat ibu tuaku yang memerlukan perhatian. Inginku balas jasanya. Inginku belai dirinya. Sebelum dirinya pulang ke pangkuan Tuhan. Aku harap kau bisa mengerti. Aku hanya pinta sedikit. Kerana aku juga akan menjadi ibu tua sepertinya. Memerlukan perhatian dan kasih sayang dari anak-anak kita. Wahai teman syurgawiku, ku pohon redhamu. Wahai suami yang mengerti bimbinglah aku bisa meniti titian bersamamu menuju syurga abadi.





Aku ingin mencintaimu~ Edcoustic

Saturday 25 June 2011

HILANG

gmbar kenangan kali terakhir keluar bersama arwah
(arwah memakai t-shirt merah jambu, bertudng corak)
Terkedu. Tergamam tatkala aku mendapat perkhabaran itu. Sungguh ku tidak percaya. Oh Tuhan! Benarkah ia terjadi? Mengapa pada kami Kau beri ujian ini ya Khaliq? Kesedihan tidak mampu ditampung lagi. Air mata terus mengalir laju ke dalam hati. Akhirnya kau tinggalkan kami teman. Pergi tanpa sebarang bayangan. Tidak meninggalkan pesan. Hatiku dicengkam kesedihan. Betapa aku kehilangan seorang insan yang telah menjadi darah dagingku. Walau kita berlainan keluraga namun dirimu ku anggap sebagai kekanda. Segala tentang dirimu menjadi kenangan. Segalanya kukutip dan kusimpan. Kegemaran dan kesukaanmu sentiasa dalam ingatan. Masih terngiang suaramu dipeluput telingaku. Masih terbayang garis senyuman dari bibir tipismu. Masih segar dalam ingatan gerak langkah kakimu. Segalanya ada didalam memori silamku. Belum sempat kita bersama menuju pentas kejayaan. Kau telah kembali menyahut seruan Illahi. Itu yang tertulis buatmu. Kami tidak bisa menghalang. Tidak bisa menafikan.Mujur jua aku bisa menemuimu buat terakhir kalinya. Walau pada hari kau disemadi aku tidak berada disisi. Namun doa kusampaikan agar segala dipermudahkan.  Segala kenangan akan kusimpan selagi hayatku dikandung badan. Tiap waktu aku mengirim doa. Agar kau berbahagia disana. Disisi sang Maha Pencipta. Agar bisa kau kutemui di syurga abadi.


Nukilan ini kutujukan khas buat memperingati temanku Norimanisah Omar yang telah kembali ke Rahmatullah pada 2 Januari 2011 lalu. Al-fatihah.

BERPACARAN

Pasangan merpati itu begitu intim sekali. Sesekali kedengaran gelak tawa manja si betina. Si jantan pula amat menyenangi gelagat si manja di sebelahnya. tenang sekali malam itu. Disinari sinaran bulan mengambang sementara buruj-buruj menari disekitarnya. Sang punggok bertenggek di pohon tua sambil memerhati isi alam yang sudah mulai lena. pun begitu, dua merpati ini masih lagi asyik berpacaran. melepaskan kerinduan. Saling berkasih sayang. Setiap saat yang dilalui terasa sungguh indah. Sungguh bahagia.
 Tanpa disedari ada sepasang mata yang sedang memerhati. Tersenyum penuh makna. 'Ini mangsaku yang kesekian kali.' Dia tersenyum lagi. Segera dipanggil  para panglima yang gagah perkasa. Mengarahkan untuk mendekati sang merpati dua sejoli. Tugasan malam ini sungguh mudah. Sekadar meniupkan sedikit angin cinta. Menabur serbuk maksiat dan zina di kelilingnya. Agar bisa menambah kemanisan bercinta. Itu tugas yang gampang. Malah gratis tanpa bayaran. Si general hanya ketawa berdekah. Melihat kehancuran sang merpati tidak lama lagi. Para panglima dan pahlawan selesai menjalankan tugas. Diberi pujian dan ganjaran. Sorak-sorai kedengaran.
Sang merpati mulai khayal dan leka. Kesan dari serbuk dan angin yang dihantar para panglima. Bermula sebuah cereka. Antara uda dan dara. Antara gadis dan teruna. Asyik sekali. Memadu kasih tanpa rasa malu pada alam sekeliling. Hinanya merpati ini. Sanggup menggadai maruah dan membuang iman dihati. Ahh! Malu sang pungok melihat cereka itu. Geram sang bulan kerana memancar sinar pada merpati zina itu. Betapa alam mencemuh dan menghina. Membuat zina di bumi Allah yang mulia.
Sedangkan syariat telah menetapkan. Jika sudah serasi bersama segerakan urusannya. Usah ditangguh lagi kelak akan membinasa diri. Tersedar sang merpati dari keasyikkan. Segera beristighfar. Memohon keampunan. Agar tidak berulang segala kemaksiatan.

KALAU  BERPACARAN
 (SUHAIMI MIOR HASAN, ANA RAFFALI, ALTIMET)

Monday 20 June 2011

HAMPARAN RINDU

Hamparan segara yang memisahkan kita ternyata amat sukar buatku. betapa hatiku rawan berjauhan tanpa menatap wajah yang sering menghiasi ruang minda ini. lenaku tidak seenak malam-malam kelmarin. mimpiku juga tidak seindah seperti selalu. ahh! segalanya serba tak kena. meniti hari yang suram tanpa ada bicara dari bibirmu. kelam sekali. saban waktu aku pinta pada pawana petang, hantarkan kiriman salam dan rinduku buatmu. agar ia bisa meringankan sedikit kegelisahan yang melanda hati. tak lupa doa kudus kuutus buatmu yang teristimewa. dari hati yang ikhlas mengharap yang terbaik buat dirimu disana.tanpa jemu sering aku meniti waktu menanti hadirnya hari itu. hari yang istimewa buat kita. buat mereka juga. betapa saat itu menjadi impian dan mimpi terindah dalam hidupku.pesanku satu, jangan pernah lupakan ia. jangan pernah mungkir janjinya. kerana ia teramat istimewa dan waktu itu akan kunjung tiba.


lagu : JAUH, MIRWANA

Sunday 19 June 2011

lelah ibu tua

Nafasnya kedengaran agak sedikit laju. matanya terpejam menahan sedikit kesakitan dan kadangkala berkerut dahinya akibat sakit yang ditahan. kasihan tubuh tua itu dinoda dengan jarum yang tajam lagi berbisa. berselirat wayar dan tiub laluan udara disekitar kepalanya. betapa tubuh tua itu cuba melawan dengan segala kudrat yang bersisa gerah yang melanda. setia sang anak menanti ibu tua itu setiap waktu. tanpa jemu dan bosan dengan doa kudus beserta harapan. agar ibu tua bisa kembali tersenyum riang. para perawat dan pengobat sentiasa memberi rawatan. menjajikan yang terbaik untuk memulihkan para pasiennya. sekali-sekala ibu tua terbatuk akibat kahak yang menginap di kedua peparu. mujur sahaja dia diberi sedikit narkoba yang dibenarkan kuantitinya agar bisa membantu meredakan setiap yang berbisa. sekelip mata sakit itu menjelma dan memadam semua kenyamanan yang ada. ketentuan Tuhan tiada siapa yang dapat menghalang. jangan disangka panas yang berpanjangan akan berlarutan sampai bila-bila. mungkin sahaja ribut dan badai melanda di pertengahan masa tanpa mengenal erti susah dan sengsara. jangan sekali-kali menafikan ujian Tuhan kerana disebalik setiap ujian pasti ada kemanisan. yang penting jangan pernah berhenti mengharap sedikit belas ehsan dari Tuhan yang Maha Berkuasa. moga-moga segalanya kembali seperti sedia kala.

Wednesday 15 June 2011

berakhir sudah.

manis yang kurasakan menjalar di segenap ruang deriaku. rasa nyaman terbit dibenak hati. kelembutannya amat menyenangkan. kadangkala terasa sedikit pahit dan asin akibat bendasing yang turut hadir. sepotong kek yang dihadiahkan pensyarahku buat kami semua. terharu dan sebak rasanya. terima kasih DR. MAWAR! nilai sepotong kek yang dihadiahkan tidak mampu untuk dibandingkan dengan ilmu yang dicurahkan.sambil makan kami dihidangkan dengan iringan muzik yang cukup mencengkam jiwa. mutiara jernih menitis perlahan menodai kegebuan pipiku. ini kelas terakhirku sebagai mahasiswi Universiti Kebangsaan Malaysia. segalanya kini berakhir. tahun-tahun yang kulalui memberi sejuta kenangan yang mematangkan diri. terima kasih semua. terima kasih teman. terima kasih guru. terima kasih untuk semua yang telah aku lalui sepanjang bergelar mahasiswi. memori terindah bersama teman-teman di perkuliahan sangat mengusik jiwa. tidak perlu memikir tentang kerja. tidak perlu berasa tertekan dengan apa jua cabaran. segalanya dilalui dengan kegembiraan, keseronokan. seperti kanak-kanak riang.seperti anak-anak laskar pelangi. betapa saat dan detik itu pantas berlalu. kini aku akan bergelar graduan. tamat dengan kepujian. bakal menempuh alam pekerjaan yang belum tentu ranjaunya. semoga segalanya dalam redha dan berkah yg ESA..

LASKAR PELANGI (NIDJI)
SELAMAT ULANG TAHUN SAYANG (IMRAN AJMAIN)

SIAPA YANG BERDOSA??


salahkah aku?mengapa?
aku seperti terasing di Bumi sendiri. masih mencari-cari kemana hendak ku tuju.
kemana lagi harus melangkah?
timur menolak. barat mencaci. selatan memburu. utara mendendam.
aku tiada lagi tempat di sini. semuanya enggan menerima. semuanya termakan nista. dusta belaka.
kerdil kurasakan kini. seolah diri tidak punya kekuatan. langkah dihayun penuh longlai. seolah tubuh sudah lelah merasakan. betapa dunia terlalu kejam. padaku dan pada mereka.pada kami yang tidak berdosa. perlu menanggung semua. mereka enak duduk di pertarangan emas. sedang kami sibuk mencari perlindungan. mencari sedikit belas kasihan.apakah ini kepuasan buat mereka? merampas apa yang kami punya. mengambil yang bukan hak mereka. sengaja mencipta yang tiada. menambah yang sudah lama berdarah. tiada sekelumit belas. tiada sedikit ehsan.semakin dihalang semakin meradang. inikah perikemanusiaan yang dicanang ke seantero alam? persetan itu semua. mungkin hari ini kau tersenyum bangga. dengan keangkuhan yang sentiasa dihati. namun siapa tahu esok kau akan menangis sengsara. setelah keegoanmu di tarik Illahi.

DAMAI YANG HILANG, NOWSEEHEART

Thursday 9 June 2011

BANGAU OH LANGAU

"kawan-kawan, jom kita kesana" si kecil memberi cadangan kepada rakan-rakanya.
"kenapa?" si bulat mencari sebabnya.
"dekat sini banyak LANGAU la"
"LANGAU?" hampir serentak si bulat dan si tinggi bertanya.
"itu, yang berkaki panjang dan berwarna putih. ada banyak di situ" si kecil menunjuk kearah yang dimaksudkan.
"oh, itu BANGAU la...bukan LANGAU. HA HA HA" berderai ketawa mereka bertiga.


begitulah keriangan 3 kanak-kanak yang berlainan bangsa dan agama...sama-sama mengail ikan di bendang. keriangan ini begitu menggamit memori sewaktu aku kecil dahulu. bermain pondok-pondok. bermain kejar-kejar. dan segala jenis permainan anak kampung. aku bersyukur kerana aku masih merasai kedinginan air kolah. kesegaran bayu pagi. kelembutan rumput tutup bumi. semuanya telah menjadi kenangan padaku. zaman itu. waktu dan ketika itu. ingin sekali kupulang ke zaman itu. ingin sekali kuputar waktu yang telah berlalu. namun mana bisa ia terjadi. kerana masa lalu adalah yang paling jauh dari hidup kita. tidak dapat digapai semula. hari ini. anak-anak kecil masih lagi bisa melihat bangau. bisa mengail di kali. bisa melihat saujana mata memandang sawah padi. namun apakah anak-anak masa hadapan bisa melihat apa yang kanak-kanak ini lihat? apakah masih ada bangau si kaki putih? apakah masih ada lagi sawah bendang yang menghijau luas? itu semua akan hilang. lenyap dari pandangan mata tanpa adanya kesedaran. tanpa adanya rasa beriman. maka, sebagai hamba yang dilantik sebagai khalifah muka bumi oleh yang Maha Khaliq. seharusnya terselit rasa kesedaran akan kemusnahan alam yang telah dilakukan sendiri. ingatlah kita bukan mewariskan bumi ini kepada anak cucu kita, tetapi meminjamnya daripada mereka.

LAGU: HIJAU, ZAINAL ABIDIN

Wednesday 8 June 2011

lebih dari sekadar kata-kata

ya...bukan hanya sekadar dengan kata-kata...segalanya perlu dibuktikan...tidak hanya sekadar mengucapkan..tidak hanya sekadar dengan pandangan...tanpa bukti...ianya kedengaran palsu..tanpa  bukti ianya kelihatan lesu..ia memerlukan lebih dari itu..lebih dari segala-galanya yang diucapkan...ungkapan dari sang lidah bisa saja menipu...namun luahan yang muntah dari fikiran dan hati tidak mampu untuk berbohong...jujur dan ikhlaslah dengan apa yang kau rasa...jgn sekali-kali menafikan...dan jangan sekali-kali menidakkan...kerana segalanya telah terbukti...bahawa CINTA adalah segalanya....

inspirasi dari lagu : 

Friday 3 June 2011

tinta maya mula berbicara

pertama sekali inginku memohon maaf kepada Dr. Mawar kerana agak terlewat untuk menulis di blog ini. banyak kekangan yang aku hadapi dalam masa 2 minggu kebelakangan ini. lagi pula perkhidmatan jalur lebar yang selalu ku gunakan belum lagi aku jelaskan bilnya. maklumlah wang saku amat terhad pada waktu ini. tiada duit pinjaman pendidikan yang aku peroleh untuk tempoh 2 bulan ini. maka segalanya aku bergantung pada ibuku yang sangat aku sayangi. hasil dari kesudiannya mencurah ilmu kepada warga kampung yang ingin mengaji dengannya. Alhamdulillah walaupun mak tidak lagi bisa berjalan seperti orang lain tetapi khidmat baktinya masih lagi ditagih oleh mereka yang dahagakan ilmu Allah.

subjek ini aku ambil sebagai elektif dengan taraf kursus pilihan bebas. jika diikutkan aku bukanlah berlatarkan sastera atau bahasa, namun entah mengapa aku memilih ia sebagai pelengkap dan subjek terakhirku sebelum menamatkan pengajian di bumi ukm ini. aku bersyukur pada Allah kerana telah dilorongkan untuk memilih subjek ini dan sedikit sebanyak telah membangkitkan nafsu penulisanku yang telah tidur sejak sekian lama. pada awalnya aku rasakan agak sedikit malu dan kerdil bila berada di dalam kelas. dari fakulti dan jurusan yang berlainan dengan mereka semua. terasa seperti makhluk aisng dari planet yuka'a. namun semangat dan azam semakin bertambah dan tidak pernah luntur untuk berkarya dan mudah-mudahan impian kami semua bisa jadi kenyataan. dan satu perkara lagi yang paling aku sukai apabila Dr. Mawar memanggilku dengan panggilan khodijah yang mana hanya 2,3 orang yang kukenali sahaja yang memanggilku dengan nama awalku itu. harapanku juga mudah-mudahan aku bisa menjadi sehebat khadijah khuwailid, ummul mukminin dan wanita teragung dalam dunia islam.
sekian, tinta berhenti dahulu.
wasalam

Link

TERIMA KASIH DAUN KELADI, ADA MASA JEMPUT DATANG LAGI...=)